Offical Aishkim Blog
+Follow | Dashboard

CSI AISHKIM : AKIM MAHU PERBAIKI IMEJ,BAKAT
22 January 2010 | 10:10 AM | 0 comments
credit:utusan malaysia

TATKALA melangkah bergelar artis selepas keluar dari Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), tahun lalu, dia dilabel sebagai 'budak baru' yang bermasalah.

Banyak lakaran kritikan berbaur negatif terconteng di wajahnya.

Antara lain, anak muda berusia 19 tahun ini dikatakan sudah besar kepala, tidak serius ketika mengadakan sesi fotografi dan promosi selain merungut kononnya penat menjadi artis.

Begitulah yang menimpa pembawa diri bernama Afiq Hakim Ahmad atau Akim yang kini cukup popular dengan lagu Bengang.

Enggan untuk melenting atau berasa tertekan, semua kritikan yang disiarkan di media itu diterima Akim dengan hati terbuka. Malah berterima kasih kerana ia membolehkannya memperbetul serta memperbaiki kelemahan diri.

Melangkah menyelusuri liku hidup selaku artis, daripada seorang penyanyi, Akim menambah koleksi pengalaman karier apabila diberi peluang beraksi di gelanggang lakonan.

Bergandingan bersama Mila, Aril serta barisan pelakon lama seperti Azizah Mahzan dan Riezman, drama bersiri Kau & Aku menjadi titik permulaan buat Akim mengembangkan bakat.

Namun, lakonan sulungnya menerusi drama terbabit menerima maklum balas yang kurang memberangsangkan.

Agak 'kayu' dan kaku, maklum balas berkenaan tidak dinafikannya malah Akim sendiri mengakui akan perkara tersebut.

"Waktu menerima peluang berlakon, Akim baru sahaja keluar dari AF dan tidak ada asas lakonan.

"Lakonan saya memang keras dan saya tidak nafikan. Ia agak susah kalau hendak dibandingkan dengan menyanyi.

"Semuanya ini adalah pengalaman dan saya dapat pelajari sesuatu untuk diperbaiki pada masa mendatang," katanya ketika ditemui Hits pada sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini.

Drama muzikal Kau & Aku bersiaran setiap Sabtu pada pukul 10 malam di saluran Ria (saluran 104, Astro).

Ia mengisahkan kehidupan remaja mengejar cita-cita di sebuah kolej seni persembahan.

Menariknya, drama muzikal bersiri 26 episod ini diserikan lagi dengan penampilan istimewa Hafiz (juara AF7), Stacy (juara AF6) dan Dafi (AF5).

Menyambung kata-kata, Akim memberitahu, di sebalik dikritik tidak pandai berlakon, dia berasa bertuah kerana dapat mengaut ilmu lakonan daripada kalangan pelakon senior.

"Bukannya saya tamak sangat hingga mahu mencuba semua tetapi ini adalah pengalaman paling berharga dalam hidup saya. Buat masa ini, saya belum ada menerima mana-mana tawaran berlakon. Kalau ada, saya pasti akan menerima," ujarnya.

2010, AF8 dan cabaran masa depan Akim

Menurut Akim, kehadiran 2010 yang bakal menyaksikan kemunculan AF8 membuatkannya mahu meningkatkan usaha agar terus relevan di medan seni tanah air.

Semakin memahami selok belok dunia hiburan, di sisi Akim, apa yang dilaluinya sepanjang 2009 akan dijadikan tapak untuk menunjangi perjalanan seninya di tahun mendatang.

"Saya sedar dengan kemunculan AF8 serta program realiti lain, akan lahirlah bakat-bakat baru seterusnya. Ia akan merancakkan lagi industri seni tempatan.

"Ini bermakna saingan akan bertambah kuat. Bagi saya, untuk terus hidup sebagai artis, saya perlu tampil dengan sesuatu kelainan serta idea-idea baru.

"Alhamdulillah, saya punyai keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan,'' katanya.

Ditanya bagaimana dia ingin tampil dengan sesuatu yang baru, artis naungan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) ini berkata, dia kini sudah mula berjinak-jinak dengan penulisan lirik.

Untuk itu, jelasnya, dia bakal muncul dengan single kedua berjudul Inilah Cinta, sebuah lagu yang berkisar tentang percintaan.

"Saya tulis sendiri lirik lagu itu. Saya mengambil masa 30 minit untuk hasilkan melodinya.

"Selepas Inilah Cinta, saya akan merakamkan sebuah lagi lagu iaitu Sumpah. Saya juga akan mencipta sebuah lagu bagi dinyanyikan oleh pelajar AF8 nanti," kata Akim yang teruja untuk menanti Inilah Cinta dipasarkan Februari nanti.

Tahun 2010 sememangnya dilalui dengan penuh bergaya oleh Akim apabila single pertamanya iaitu Bengang bertarung di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur 10 Januari lalu.

Meskipun gagal memenangi sebarang anugerah, Akim mampu berbangga apabila diumumkan menerima Anugerah Penerima Nada Dering Tertinggi Hotlink di anugerah tersebut.

Akim memenangi anugerah itu melalui Peraduan Saat Kegemilangan Anugerah Juara Lagu 24 Bersama Hotlink yang terbuka kepada semua penonton melalui undian sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain Akim, Stacy turut memenangi Anugerah Artis Popular Pilihan Hotlink melalui lagu Pakai Buang.

Rapat dengan Aril

Sementara itu, Akim berkata, dalam mencari hala tuju serta bergerak di gelanggang seni, dia sering kali mendapat bimbingan daripada rakan karibnya iaitu Aril.

Pernah bersama di pentas AF7, Aril bagi Akim adalah seorang rakan yang tidak lokek dalam memberikan nasihat.

"Ketika dalam AF, saya memang tidak suka cara Aril kerana selalu sangat bagi nasihat. Ia agak merimaskan saya.

"Tetapi, lama kelamaan, saya dapat menerima caranya. Kami sangat rapat dan selalu lepak bersama,'' ujarnya yang belum berkesempatan untuk melancong ke negara ASEAN menerusi pakej percutian yang dimenangi sewaktu menduduki tangga ketiga di malam kemuncak AF7, tahun lalu.


Older Post | Newer Post
Welcome
Hye dan Assalamualaikum,harap korg suke blog neh.Komen komenla yew :D

Gosip

ShoutMix chat widget

Video ♥
Ucapan Akim

Ucapan Aishah

Ucapan Aidilfitri Akim

Ucapan Aidilfitri Aishah

Lagu Kita feat Aishkim

Aishkim


Credit
Template by : Jaja
Background by : FPA

Navigations Here

Aishkimmers Linkies Entries