Offical Aishkim Blog
+Follow | Dashboard

20:Masihkah Aku Kau Yang Punya
13 September 2009 | 10:55 PM | 1 comments

“Nenek!”
Engku Mahani tergamam melihat Akim yang muncul dari pintu belakang.Akim menarik pistol itu dan menghala ke dahinya sendiri.
“Nenek tembak Akim!Nenek bunuh Akim kalau nenek mahu puas hati!”
“Akim..”Tangan Engku Mahani menggigil.
“Nenek nak bunuh ibu!Nenek nak bunuh Aishah!Sekarang bunuh Akim sekali!”
Wanita yang angkuh itu kelihatan lemah.Perlahan-lahan dia rebah di kaki cucunya sendiri.Jantungnya berdegup kencang.
Akim melemparkan pistol itu ke bawah meja.Nafasnya tercungap-cungap menahan perasaan marah.Matanya merah dan berair.
“Nenek siapa sebenarnya?Manusia atau syaitan?”
“Akim..”Engku Mahani memegang dadanya.Dadanya berombak-ombak menahan sakit.Aishah dan Farah hanya mampu berdiri terpaku di situ.Langsung tidak berganjak.
“Nenek sayang Akim..”
“Tipu!Kalau nenek sayang Akim nenek takkan tergamak buat semua benda ni!”Bentak Akim.Perasan marahnya meluap-luap bagai mahu pecah dadanya.
“Nenek sayang Akim..ayah kamu..”
“Bukan!”Akim menarik kolar blaus Engku Mahani.Kata-kata Aweera bermain-main di mindanya. Kata-kata yang sukar dipercayai pada mulanya.“Nenek cuma sayang waris wasiat arwah datuk!Nenek takut harta tu akan jatuh ke tangan orang lain jika Akim kahwin dengan orang kebanyakan macam ayah kahwin dengan ibu!”
Akim cuba mengheret wanita tua itu keluar.Aishah pantas menahan lelaki yang dikuasai amarahnya.
“Akim,sudahlah tu,”
“Tepi!”Akim menolak tangan Aishah.Engku Mahani yang semakin lemah itu ditariknya kasar ke luar restoran.Aishah menahan Akim.
“Akim!Cukup!”
“Aishah ke tepi!”
“Akim!”Aishah menampar pipi Akim.Akim cuba membalas tamparan itu tapi tangannya terhenti di udara.
“Akim,”Aishah memegang bahu Akim.“Akim..Akim bukan macam dia.Akim bukan Engku Mahani.Akim takkan lakukan perkara yang sama seperti dia,”
Tangan Akim dipegangnya dan diusap perlahan-lahan.Akim terdiam.Air matanya mengalir ke pipi.Aishah meletakkan kepalanya ke bahu Akim.Dia berbisik perlahan.Nadanya tersekat-sekat.“Akim bukan seperti dia..lepaskan dia.Maafkan dia..”
Akim melepaskan kolar blaus Engku Mahani yang dipegangnya.Dia memandang tepat ke arah Engku Mahani.
“Tengok,nenek..dia suruh saya lepaskan nenek..maafkan nenek..nenek patut malu..nenek..”Akim tidak dapat meneruskan kata-katanya.Dia menangis tersedu-sedan.Aishah mengesat air mata lelaki di hadapannya.
“Akim..”Aishah meletakkan kepala Akim ke bahunya.Membiarkan Akim melepaskan kesedihan dan kemarahannya.
Sebuah kereta Mazda lama berhenti di hadapan mereka.Aweera mengheret Burn keluar daripada keretanya.Punggung lelaki itu ditendang lalu jatuh ke arah Engku Mahani yang mengusap-ngusap dadanya yang sakit.
“Jaga tuan kau baik-baik!”Aweera menendang pipi Burn.Berhambur keluar darah pekat daripada mulut lelaki itu.
Farah yang baru keluar dari restoran itu memandang ke arah lain.Ngeri.
“Aweera,kita tak nak report polis?”
“Tak perlu!”Akim pantas menjawab pertanyaan Farah.Dia mengesat air matanya.Matanya memandang ke arah neneknya yang nampak tidak berdaya.Tangan Engku Mahani di ciumnya.Dia menarik nafasnya.Masih dikuasai perasaan marah.
“Saya minta maaf nenek dan saya juga maafkan nenek.Aishah juga maafkan nenek.Saya pasti ibu juga maafkan nenek.Ayah juga maafkan nenek.Kemaafan ini adalah hukuman buat nenek!”
Tangan itu diciumnya sekali lagi.Akim bangun dan menarik Aishah pergi dari situ.Langkah mereka dituruti Farah dan Aweera di belakang.
Jantung Engku Mahani terasa ngilu bagai ditusuk sembilu.Dadanya berombak-ombak.Wajahnya pucat lesi.Burn cuba mengangkat wanita tua itu.Tetapi tangannya terketar-ketar menolak tangan lelaki itu.Mindanya berkecamuk.
Matanya merah dan bergenang dengan air mata.Mulutnya terkunci.Deja vu.Keadaan yang sama di saat Engku Mokhzani berjuang mempertahankan nyawanya akibat diracun isterinya sendiri!
*****
Aweera mengusap rambutnya yang panjang ke belakang.Dia tersenyum memandang Farah.
“Terima kasih sebab sudi bekerjasama.”
“Sama-sama.”Farah membalas senyuman itu. “Hairan..”
“Hairan?”
“Saya boleh masuk campur hal orang lain yang langsung tak ada kena-mengena dengan saya kecuali Akim sahabat saya.”
“Oh..”Aweera ketawa kecil. “Itu tandanya awak busy body atau awak baik hati.”
“Okay,saya pilih yang kedua.”Farah turut ketawa. “Plan awak selepas ini?”
“Saya akan balik ke London.Saya dah jumpa ayah saya.Pujuk dia pulang ke London.”
“Ayah awak?”
“Ya,ayah saya.Panjang cerita.Tapi apa yang berlaku dengan ayah saya ada juga kaitan dengan Engku Mahani.”
“Dahsyat.”Farah cuba mengingati saat-saat cemas ketika dia dan Aishah hampir ditembak Engku Mahani. “Sukar saya nak percaya ada manusia sejahat itu.Tambahan orang yang dihormati seperti Engku Mahani.”
“Itu yang berlaku apabila nafsu melebihi akal.”
“Awak rasa dia akan balas dendam?”
“Kalau dia masih hidup.Apapun kita tunggu dan lihat.”Aweera melemparkan pandangannya kepada Akim dan Aishah yang berbual tidak jauh daripada mereka.“Apa yang diaorang sembang agaknya?”
“Biarlah,mungkin diaorang selesaikan masalah yang tak pernah selesai.”
“Hei,saya rasa Adam akan kembali juga pada awak nanti.”Aweera tersengih.
“Busy body juga ek?”(Tiba-tiba mamat nih!)
“Bukan..baik hati.”
Aweera ketawa kecil.Farah hanya tersenyum.
Tidak jauh dari situ Akim dan Aishah sekadar membisu seketika.Tiada nada-nada perbualan yang keluar daripada mulut mereka.Masing-masing masih terasa kesal dengan penipuan yang terpaksa mereka alami.
Akim memandang Aweera yang asyik berbual dengan Farah.Dia hampir-hampir menolak permintaan Aweera untuk menunggu di belakang restoran itu.Dia hanya ke sana setelah diyakinkan Aweera bahawa dia bakal berjumpa orang yang ingin membunuh Aishah.Hatinya retak seribu apabila melihat neneknya sendiri yang mengacu pistol ke dahi Aishah.Apatah lagi apabila mendengar petualangan neneknya yang datang sendiri daripada mulut tuan punya badan.Kecewa.
“Aishah..”
“Hmm?”
“Kenapa tak beritahu Akim tentang hutang keluarga Aishah?”
Aishah mengeluh perlahan.(Ya,kesilapan yang sudah berlaku..mungkin kalau Aishah beritahu Akim,kita akan sama-sama tahu yang bunga-bunga hutang itu tak pernah wujud).
Akim memandang Aishah yang tunduk membisu.Perlahan-lahan dia mengusap rambut gadis di hadapannya.
“Esok Akim pulang..”
Aishah memandang tepat ke mata Akim.Tanpa dipaksa dia mengalirkan air matanya.Sebak.
“Hei..”
Akim mengesat air mata yang mengalir di pipi Aishah.
“Akim tak akan menghalang Aishah dan Aliff.”
Akim terbayang wajah Roslan dan Fauziah yang bangga apabila Aliff melamar Aishah di hadapan mereka.Cukuplah neneknya mengganggu keluarga itu.Tak perlu dia juga menjadi pengacau.
“Kenapa?”Pertanyaan itu tiba-tiba tercetus dari mulut Aishah.Akim memandangnya dengan perasaan yang keliru.
“Kerana Aishah sudah menerima lamarannya dan mak ayah Aishah pun sukakan dia kan?”Akim terdiam seketika.Hatinya ingin memohon kepastian.“Betul kan?”
Aishah mengesat air matanya.Mukanya berubah serius.Sedikit kecewa dengan kata-kata Akim.
“Ya,betul.Jom kita balik.”
Aishah pantas meninggalkan Akim menuju ke arah Farah dan Aweera.Akim memandang gadis itu dengan wajah yang keliru.
*****
Suasana di dalam kereta Storm Akim agak tegang.Akim yang memandu kereta langsung tidak berbicara.Aishah juga membisu dengan diari merah yang digenggam erat.Yang berasa rimas tentulah Farah.Suasana sepi memang merimaskan.
Kereta itu membelok masuk ke ladang rusa Aliff.Seperti biasa beberapa ekor rusa galak mengejar sesama mereka.Di hadapan banglo lama yang dijadikan homestay itu kelihatan Aliff sedang berbual bersama Datuk Azis dan Roslan.
Aliff tersenyum melihat ketiga-tiga mereka keluar daripada kereta pacuan 4 roda itu.
“Makan angin mana?”Aliff bertanya.
“Oh..saja Farah bawa diaorang jalan-jalan.”Farah tersenyum.Menyelamatkan keadaan.
“Ya,lagipun esok aku dah nak balik.”Sampuk Akim sambil memasukkan kunci keretanya ke dalam saku seluar jeans Edwin berwarna hitam itu.
“Kau dah nak balik?”Aliff kehairanan.“Eh,janganlah balik.”
“Kenapa?”Akim memandangnya kembali.
“Aku baru bincang dengan papa dan Pak Cik Roslan.Lusa kami akan adakan majlis akad nikah.Akad nikah dahulu tak ada majlis kenduri.Semuanya sudah di atur”
Akim,Aishah dan Farah tersentak mendengar kenyataan Aliff.
“Akad nikah abang dan Aishah?”Farah memohon kepastian.
“Ya la,siapa lagi?”
“Kenapa cepat sangat?”
“Farah tak suka?”
“Bukan..Farah cuma tanya kenapa cepat sangat?Macam Aishah pun tak tahu.”
Aishah memandang ayahnya.Lelaki itu mengangguk-angguk kepalanya.
“Hal ini demi kebaikan kami berdua juga.Lagipun permohonan abang untuk membina chalet dah diluluskan.Abang perlu letak nama Aishah bersama.Yang penting tak elok tangguh lama-lama.Aishah ada masalah?”Aliff bertanya.Memandang gadis itu yang agak terkejut dengan berita yang tak diduga itu.Aishah menggelengkan kepalanya.Aliff tersenyum dan memandang Akim.
“Afiq,kau boleh tunggu?Jangan pulang lagi.”
Akim terdiam seketika.Tidak mengangguk dan menggeleng.Cuma sekadar cuba untuk tersenyum.
“Aku cuba.”
*****
Malam semalam diharung lama oleh Akim.Segalanya berlaku sekelip mata.Pembongkaran rahsia hitam neneknya.Pernikahan Aishah dan Aliff akan berlaku pada esok hari.Dia tak dapat membohongi dirinya.Walaupun dia rela melepaskan Aishah demi kebahagiaan Aishah dan kepuasan hati ibu bapa Aishah,bukan bererti dia bisa melihat Aishah dinikahkan dengan lelaki lain.
Beg galas itu dizip.Dia tekad,dia harus pergi.Jam ditangannya sudah menunjukkan pukul 10 pagi.Dia harus pulang ke Kuala Lumpur.Lagipun ada benda yang perlu diselesaikan dengan ibu dan ayahnya.Tentang neneknya semestinya.Mereka juga berhak tahu mengenai neneknya.
Akim melempar beg galasnya ke belakang.Dia masuk ke dalam kereta dan cuba untuk menghidupkan enjin keretanya.Tidak berjaya.Dihidupkan sekali lagi.Masih tak berjaya.Dihidupkan lagi.Tidak berjaya.Proses yang berulang-ulang.
“Kereta tu pun tak benarkan kau balik.”
Suara Aliff menerjah telinganya.Lelaki itu membuka pintu kereta.Mahu tak mahu Akim keluar daripada kereta itu.
“Nanti aku suruh Pak Ash tarik kereta ini ke bengkel.”
“Tak perlu susah-susah.”
“Perlu..sebab aku perlu pertolongan kau.”
“Pertolongan aku?”
Ketika itu Aishah keluar dari banglo lama itu.Dia kelihatannya ingin ke sesuatu tempat.
“Ya.Aku sepatutnya pergi ke butik pengantin.Aku ada tempah pakaian untuk akad nikah esok.Aku terlupa yang pagi ni aku kena hantar kat ketua kampung bekalan udang untuk satu majlis rasmi petang ini.”
“Jadi kau nak minta tolong aku apa?”
“Tolong aku temankan Aishah dan cuba baju melayu yang aku tempah.”
Aishah dan Akim tersentak.
“Tolonglah Afiq,saiz badan kita pun sama saja kan.Aku dah terlewat ni.Kau ambil kunci kereta papa dan alamat butik tu.”
Aliff meletakkan kunci kereta itu ke atas tapak tangan Akim dan juga kad perniagaan butik pengantin tersebut.Dia bergegas pantas meninggalkan Aishah dan Akim yang masih terpinga-pinga.Masuk ke dalam lori pikap Pak Ash dengan tong-tong berisi udang di belakangnya.Menghidupkan enjin dan berlalu dari situ.
Akim memandang Aishah.Aishah mengangguk sambil menuju ke arah Lamborghini Datuk Azis.Dalam hatinya dia sedikit bengang dengan tindakan Aliff.Dua tiga hari kebelakangan ini Aliff sering membuat keputusan yang melibatkan mereka berdua tanpa persetujuan bersama.Aishah menggigit bibirnya.Geram.
*****
Sepanjang perjalanan ke butik pengantin itu,kedua-dua mereka membisu seperti biasa.Yang terdengar hanya bunyi udara sejuk yang keluar dari pendingin hawa.
Lamborghini itu berhenti di hadapan sebuah butik yang sekelilingnya kaca dan dihiasi patung-patung berpakaian pengantin.
Seorang wanita berketurunan tiong hua menyambut kedatangan mereka berdua.
“Cik Aishah kan?Nama saya Gianna.Tuan Aliff ada maklumkan mengenai kedatangan Cik Aishah.Kami ucapkan tahniah untuk majlis perkahwinan esok.”
“Terima kasih.”Aishah cuba tersenyum.Tetapi kelat.
“Okay.”Gianna mengambil sepasang baju pengantin perempuan berkain satin berwarna putih dan juga baju melayu berwarna putih.
“Cik Aishah dan encik boleh cuba dulu.”
Gianna memberikan kedua-dua pasang pakaian tersebut kepada mereka berdua.Akim mengeluh kecil.(Keterlaluan!).
Aishah sudah hilang di dalam bilik persalinan.Akim juga masuk ke dalam bilik persalinan yang lain.Baju melayu berwarna putih itu dipakainya.Kain samping berwarna sama disarungnya.Songkok berwarna hitam dan mempunyai keronsang di tengah-tengahnya dipakai.Sememangnya padan dengan Akim.Segak dan tampan seperti pengantin lelaki.Cuma dia bersepatu Nike.
Akim keluar dari bilik persalinan itu.Menanti Aishah.Lama juga dia menunggu.
Pintu bilik persalinan sebelah dikuak.Akim terpegun melihat Aishah yang anggun berbaju kurung moden.Kain satin berwarna putih itu dihiasi dengan labuci yang nampak sederhana tetapi cantik.Rambutnya disanggul dan dihiasi selendang.Hati Akim berdebar-debar.
“Okey,tak ada masalah.Boleh ke belakang untuk ambil gambar.”
“Ambil gambar?”Tanya Akim dan Aishah serentak.
“Saya bukan pengantin lelaki.Lagipun ini hanya pakaian untuk akad nikah bukan untuk bersanding ke apa.”Akim agak risau.
‘Oh,tak pe..Tuan Aliff sendiri yang minta.Dia nak tengok sama ada pakaian untuk akad nikah ni sesuai atau tidak.Kalau tidak,dia akan tukar.”
Gianna tersenyum sambil menunjukkan arah ke studio gambar di belakang.Aishah menuruti sahaja.Dalam keadaan yang keliru dan celaru,Akim menuruti Aishah.
“Ini Simon.Dia akan ambil gambar you all.Okay.”
Seorang lelaki cina berambut blonde tersenyum memandang mereka berdua.
“Okay,sedia..rapat sikit..”
Cahaya lampu kamera menyilau mata Akim.Baik Akim dan Aishah,kedua-dua mereka agak janggal.Posing yang diberikan serba tak kena.
Tidak sampai 5 minit,sesi bergambar itu tamat.Gianna memasukkan pakaian yang siap dizip ke dalam plastik itu ke dalam Lamborghi.Dia berjabat tangan dengan mereka berdua.Akim memandu kereta itu perlahan-lahan.Rasa cuak masih menyelubungi hatinya.Ketika melalui stesen kereta api dia memberhentikan kereta itu.
“Nak ke mana?”Aishah bertanya.
“Beli tiket kereta api.”
“Bila nak pulang?”
“Esok pagi.”
“Esok pagi?”Hati Aishah berkecamuk.Retak seribu.Akim akan pergi di saat dia akan menikah dengan Aliff.
Akim tidak menjawab lagi.Dia keluar dari kereta itu dan menuju ke stesen kereta api KTMB Padang Besar.
Dia tidak sekuat mana untuk melihat Aishah menjadi milik orang lain.
*****
Lori pikap dengan tong-tong yang kosong berhenti di hadapan banglo lama itu.Aliff keluar dari lori itu sambil mengesat peluh di dahinya.Dia tersenyum memandang Aishah yang duduk di pangkin di bawah pokok.
“Macam mana tadi?”
Aishah tersenyum sambil memberikannya beberapa keping foto yang diambil di butik pengantin tadi.Aliff melihat foto-foto yang diberikan Aishah.
“Cantikkan bakal isteri Aliff.”Aliff tersenyum manis.“Afiq pun nampak segak macam pengantin betul pulak.”
Aishah memandang tajam ke arah Aliff.Sedikit tersinggung dengan kata-kata Aliff.
“Mana Afiq?Aliff nak minta dia jadi saksi.”
“Tak perlu.Dia dah nak pulang pagi-pagi esok.”(Saksi pulak)
“Pulang?Dengan apa?Keretanya kan rosak?”
“Kereta api.”Jawab Aishah pendek.
(Kereta api?).Aliff mengerutkan dahinya.
Di langit purnama muncul menandakan hari sudah malam.Aishah memandang Aliff yang masih berdiri di hadapannya.Bakal suaminya.Itu takdir yang sudah tertulis.Bukan Akim tetapi Aliff.
*****
Pagi itu terasa hening dan dingin.Pukul 9 pagi ini dia akan dinikahkan dengan Aliff.Hatinya terasa kosong.Dia tahu Akim akan pulang pagi ini.Itu perkara yang pasti kerana dia tidak langsung melihat wajah Akim pada pagi ini.
Farah yang memekapkan wajahnya juga tidak banyak bercakap.Dia pun tak tahu apa yang bermain di dalam hati bakal adik iparnya itu.Tapi dia tahu Farah cuba sedaya upaya menyatukannya dan Akim semula.Malah,Farah sendiri terpaksa bermain dengan gejolak rasanya.Sekurang-kurangnya dia patut mengucapkan terima kasih kepada gadis itu.
“Farah..”
“Ya.”
“Terima kasih sebab cuba satukan Aishah dan Akim.”
Farah berhenti daripada menyapu blusher ke pipi Aishah.Dia terdiam seketika.Air mata tiba-tiba bergenang di kelopak matanya.Dia lantas memeluk Aishah.
“Farah lebih harap…Akim yang berkahwin dengan Aishah..”Suaranya tersekat-sekat menahan sebak di dadanya.Aishah memeluknya kembali.Tanpa dipinta kedua-duanya menangis seperti ada majlis pengebumian bukannya perkahwinan.
“Aishah..”Farah melepaskan pelukannya.Mengesat air matanya dan air mata di pipi Aishah.“Nasib baik tak letak maskara lagi..kalau tak..”
“Kalau tak,mesti macam hantu.”Sampuk Aishah.Kedua-dua mereka ketawa dengan air mata yang masih berjujuran.
Bunyi pintu bilik diketuk mengejutkan mereka berdua.
Ada dua orang kawan Cik Aishah nak jumpa.”Kedengaran suara Pak Ash di luar pintu.Farah mengesatkan air matanya.Dia tersenyum.
“Farah masuk balik nanti.”
Aishah mengangguk sambil tersenyum.Farah keluar dari bilik itu.Sesaat kemudian masuk dua orang rakan yang amat dikenalinya.
“Mila!Hafiz!”Aishah mengesat air matanya dan memeluk Mila.
“Rindu!Rindu!”Mila terlompat-lompat keriangan.Hafiz di sebelahnya tersenyum gembira.Aishah melepaskan pelukannya dan berjabat tangan dengan Hafiz.
“Macam mana korang tau Aishah kat sini?”
“Kan Aishah sms alamat ni kat Hafiz.Hei,apa jadi ni?”Hafiz memandang Aishah dari atas ke bawah.
“Ya,Aishah akan berkahwin.”
“Bukan dengan Akim?”Mila bertanya.
“Bukan.Panjang cerita.”Aishah cuba untuk tersenyum. “Mila dan Hafiz mesti ada masa akad nikah nanti.Pergi makan dulu.”
“Okay.Nanti kita cerita.”Mila mengusap-usap lengan Aishah.Dia berlalu keluar dari bilik itu.Hafiz masih berdiri memandang Aishah.
“Hafiz tahu..”
“Apa yang Hafiz tahu?”
“Akim datang mencari Aishah.Kisah sesat di hutan..segalanya..bukan datang dari mulut Akim,tapi Hafiz tahu.Kita kan teman sehati sejiwa?”Hafiz tersenyum memandang Aishah yang nampak ayu berpakaian serba putih.“Apa yang Aishah rasa,Hafiz rasa.Aishah masih sayangkan Akim.”
Aishah terdiam.Hafiz memegang bahu Aishah.
“Tapi sekarang,sukar untuk mengubah keadaan.Hafiz doakan Aishah bahagia.”
Hafiz memegang kepala Aishah.Dia tersenyum dan keluar dari bilik itu menuruti Mila.Aishah terduduk di atas katil yang dihias cantik itu.Perasaannya gementar.
*****
Ruang tamu itu sudah dipenuhi keluarga dan sahabat yang terdekat.Tidak ramai.Orang-orang yang sama.Keluarga Aishah,Datuk Azis,Pak Ash,Farah,Hafiz dan Mila.Yang tidak kelihatan Cuma Aweera dan Akim.Yang bertambah pula ketua kampung dan imam masjid kampung yang bertindak untuk menikahkan Aliff dan Aishah.
Aishah menanti di belakang dengan ditemani Farah dan Mila.Mila terpaksa meminjam baju kurung Farah.Hafiz pula menjadi saksi bidan terjun bersama-sama Pak Ash.
Aliff memakai baju melayu sama seperti yang dipakai Akim semalam.Bersongkok dengan keronsang di tengah-tengah.Dia nampak agak tertekan.Mereka semua tekun mendengar khutbah nikah yang mengambil masa selama 10 minit.
“Segala tanggungjawab dalam menjalani bahtera perkahwinan ini di atas bahu suami.Nafkah zahir dan batin.”Imam masjid yang dikenali sebagai Haji Idris itu menghabiskan bicara khutbah nikahnya.“Sebelum memulakan majlis ijab kabul ni,saya ingin bertanya ada sesiapa yang ingin membantah pernikahan ini?”
Semua terdiam.Datuk Azis menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.Begitu juga Roslan.Haji Idris memandang Aishah.Bakal pengantin perempuan itu hanya tertunduk.
“Rasanya tak ada Tuan Haji.”Pak Ash berkata untuk mematikan pertanyaan.Haji Idris tersenyum.
“Baiklah..kalau begitu,eloklah mulakan sekarang.Selepas digoncang tangan,Tuan Aliff terus lafaz dengan sekali nafas.Silakan wali pengantin perempuan”
Roslan bangun dan duduk di hadapan Aliff.Dia menggenggam tangan Aliff.Peluh dingin membasahi dahi Aliff.Jantungnya berdegup kencang.
“Aku nikahkan dikau Siti Aishah binti Roslan dan Aliff bin Azis dengan mas kahwin seratus satu ringgit tunai.”
Roslan menggoncang tangan Aliff.Aliff terdiam.Dia melepaskan pegangan tangan Roslan.Aishah tersentak.Memandang Aliff dengan wajah kehairanan.
“Maafkan saya..”Bisik Aliff perlahan.“Saya bantah perkahwinan ini.”Aliff bangun dan menghampiri Aishah.Orang di sekeliling mereka kaget dengan tindakan Aliff.Aliff mengeluarkan tiket kereta api dan kunci jip Cheerokee.
Kunci jip dan tiket kereta api itu diletakkan di tangan Aishah.Datuk Azis menggeleng-gelengkan kepala melihat tindakan anaknya.Roslan pula kelihatan tenang.Aishah memandang Aliff.
“Aliff sayangkan Aishah tapi Aishah untuk Akim.”
“Macam mana Aliff tahu?”
Aliff menarik Aishah keluar dari banglo itu.Haji Idris beristighfar beberapa kali.Sesekali dia berbisik dengan ketua kampung.Farah tersenyum memandang abangnya dan Aishah meninggalkan majlis itu.Hafiz juga tersenyum.
Aliff memberhentikan langkahnya di depan jip Cheerokee.
“Kenapa tak beritahu Aliff yang Afiq tu Akim?”
“Aliff tak jawab lagi bagaimana Aliff tahu Afiq tu Akim?”Aishah membulatkan matanya.
“Aliff dah lama tahu.”Aliff memegang bahu Aishah sambil tersenyum.“Aliff dah baca diari Aishah.Malam sebelum Farah kembalikan diari itu kepada Aishah.”
“Maksud Aliff?”
“Aliff tahu segalanya.Pertemuan dengan Engku Mahani.Aliff cuma mahu kata-kata kebenaran itu keluar dari mulut Aishah atau Akim sendiri.Aliff sengaja rosakkan kereta Akim dan cepatkan pernikahan ini.Macam-macam Aliff buat untuk memberi ruang kepada Akim dan Aishah.Tapi mengapa Aishah perlu korbankan rasa cinta Aishah kepada Akim demi Aliff?”
“Aliff..”Ada nada-nada sebak.
“Aishah,kalau Aishah beritahu Aliff yang Aishah masih cintakan Akim,Aliff boleh terima.Atau Aishah sebenarnya sukakan Aliff?Jangan bagi Aliff silap buat keputusan.”Aliff tersenyum nakal.
Aishah semakin menangis dengan air mata yang berjujuran.
“Okay,Aishah memang lebih memerlukan Akim.Cepat,kereta api Akim akan bertolak pukul 9.30 pagi.Cepat.”
Aliff membuka pintu jip itu dan menolak Aishah masuk ke dalam jipnya.
“Aliff..”
Aishah memandang Aliff dengan perasaan yang terharu.
“Cepat..semoga Aishah bahagia..pandu elok-elok..tapi kena lajulah..”Aliff melambaikan tangannya.Aishah membalas lambaian itu.Mulutnya terkumat-kamit membisikkan ucapan terima kasih.Aliff mengangguk.
Dia memandang sayu ke arah Aishah sehingga jip itu lenyap daripada pandangan matanya.Aliff terduduk di atas pangkin.Songkoknya diletak di tepi.Air matanya dikesat.Dia terasa bahunya dipegang.
“Farah bangga dengan abang.”
Farah meletakkan kepalanya ke atas bahu Aliff.Aliff tersenyum.Dia menepuk perlahan kepala adiknya.
(Mencintai seseorang bukan bererti memilikinya..)
*****
Orang ramai memenuhi setiap ruang stesen kereta api KTMB Padang Besar.Akim mengheret beg galasnya masuk ke dalam gerabak kereta api.
Dia melihat nombor tiketnya sebelum menghempas punggungnya dengan malas ke atas kerusi.
Pandangannya dilepaskan keluar.Mengeluh kecil.Pastinya di saat ini Aishah sudah sah menjadi milik Aliff.Dia meletakkan tangan ke dahinya.Memejamkan matanya.
“Boleh saya duduk di sini?”
Suara seorang gadis menerjah telinganya.Akim membuka matanya.Dia terkejut melihat Aishah berdiri di sebelahnya dengan pakaian pengantin siap dengan selendang.Pipinya dicubit.
“Akim tak mimpilah.Memang Aishah.”Aishah tersenyum manis memandang Akim.Akim menggosok-gosok matanya.Masih tidak percaya.Orang ramai di dalam kereta api itu juga kehairanan melihat pengantin perempuan tersesat masuk ke dalam kereta api.Mereka berbisik-bisik sesama mereka.
“Macam mana Aishah..”
“Nanti kita cerita.Kan panjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.”
Aishah duduk di sebelah Akim.Akim menggeleng-gelengkan kepala.Ketawa kecil melihat Aishah yang anggun berpakaian pengantin menaiki kereta api.
“Oh,ketawa.Aishah ada satu pertanyaan.”
“Apa saja sayang.”Akim memandang Aishah dengan wajah yang girang.Aishah mengambil tangan Akim dan memandangnya dengan wajah yang manja.
“Afiq Hakim bin Ahmad,sudi tak berkahwin dengan Siti Aishah binti Roslan?’
“Sejuta kali sudi.Kita kahwin sekarang nak tak?”Akim tersenyum nakal.
“Tunggulah sampai KL.” Aishah melepaskan pegangan tangan Akim.
“Ye lah..ye lah..tak nak bertunang..terus kahwin.”
“Baiklah sayang.”Aishah meletakkan kepalanya ke bahu Akim.
Akim dan Aishah ketawa lagi.Pegangan tangan Akim dan Aishah erat seperti enggan dipisahkan lagi.
Dari jauh Pak Cik Raja tersenyum memandang kereta api yang bergerak meninggalkan stesen kereta api itu.Seorang pemuda berambut panjang menepuk bahunya.
"Ayah rasa kita patut dapat anugerah kerana menolong orang tanpa diduga?"
"Jangan.Pertolongan perlu dibuat dengan ikhlas.Walaupun tanpa diduga"
Pak Cik Raja tersenyum memandang Aweera.Anak lelakinya yang terpaksa ditinggalkan sejak kecil lagi.Terpaksa demi keselamatan anaknya juga.Semuanya kerana Engku Mahani.Tapi kini dia bisa tersenyum.Pengakhiran yang bahagia buat semuanya.
Kereta api daripada Padang Besar bergerak perlahan-lahan menuju ke Kuala Lumpur.Membawa pulang pengantin perempuan untuk pengantin lelaki yang sebenarnya.
*****
Tiga bulan selepas itu..
Ahmad dan Fatimah melangkah masuk ke dalam bangunan yang dicat serba putih itu.Selama tiga bulan mereka menikmati kehidupan yang gembira.Keluarga mereka semakin bertambah apabila kehadiran cahaya mata kembar yang lahir daripada perkongsian hidup Zizi dan Yazid.Akim sudah kembali kepada mereka.Begitu juga Aishah yang sudah rasmi menjadi menantu mereka kelmarin.Semuanya serba indah seperti kisah dongeng yang berakhir dengan kebahagiaan.Sehinggalah panggilan telefon yang diterima pagi tadi.
“Encik Ahmad dan Puan Fatimah silakan masuk.”
Doktor lelaki yang berjambang itu menjemput kedua-dua tetamu itu.Mereka berjalan ke arah sayap kanan bangunan.Terdapat banyak bilik-bilik di situ.Ada beberapa orang lelaki beruniform putih mengawal bilik-bilik di situ.Sampai ke sebuah bilik mereka berhenti.Pintu itu dibuka.
Seorang wanita tua dengan rambut yang menggerbang duduk di atas kerusi malas sambil menggoyang-goyangkan kerusi itu.Wajahnya cengkung dengan mata yang dalam.Perasaan sebak jelas menyelubungi Ahmad.Perlahan-lahan air mata mengalir di pipinya.
“Sudah 2 bulan dia tinggal di wad psikiatri ni.Kami jumpa dia merayau-rayau seorang diri.Sehinggalah pihak kami berjaya mendapat maklumat yang rupa-rupanya wanita ini Engku Mahani,ibu encik.”
Ahmad mendapatkan tangan ibunya dan menciumnya bertalu-talu.Fatimah juga mencium tangan ibu mertuanya.Engku Mahani memandang seketika ke arah mereka.Kemudian mengalihkan semula pandangannya ke dinding.Dia sudah tidak mengenali tetamu-tetamu yang datang menjenguknya.Fatimah mengambil sikat dan menyikat rambut Engku Mahani.Dia membiarkan dirinya disikat.Pandangannya kosong ke hadapan.
Kemaafan adalah hukuman buat Engku Mahani.Dia menunggu masa sehingga ajalnya tiba sambil menghitung dosa-dosa yang dilakukannya.
TAMAT

Labels: , , , ,


Older Post | Newer Post
Welcome
Hye dan Assalamualaikum,harap korg suke blog neh.Komen komenla yew :D

Gosip

ShoutMix chat widget

Video ♥
Ucapan Akim

Ucapan Aishah

Ucapan Aidilfitri Akim

Ucapan Aidilfitri Aishah

Lagu Kita feat Aishkim

Aishkim


Credit
Template by : Jaja
Background by : FPA

Navigations Here

Aishkimmers Linkies Entries